Pena Pengarah

Bismillahhirrahmanirrahim. Alhamdulilah sekalian pujian dan syukur kepada Allah S.W.T., Tuhan Pencipta Alam, yang menjadikan manusia saling bergantungan dalam meneruskan kehidupan.

Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) berperanan bagi merealisasikan agenda nasional bagi melahirkan graduan bercirikan usahawan (entrepreneurial graduates) dan graduan usahawan (entrepreneur graduates). Fungsi PPKS adalah bagi menyokong ekosistem universiti dalam menggalakkan aktiviti keusahawanan siswa dengan menyediakan sokongan perkhidmatan dan perundingan kepada para pelajar yang berminat untuk menjadi usahawan sejak berada di alam kampus lagi. PPKS sentiasa bersama-sama mendokong aspirasi universiti dan negara bagi menghasilkan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan sepertimana terkandung di dalam Lonjakan 1 di Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) 2015-2025.

PPKS bertekad agar dapat membimbing pelajar USIM daripada pelbagai bidang agar dapat memiliki ciri-ciri seorang usahawan Islam (Muslimpreneur) yang antaranya termasuklah bercita-cita tinggi, mempunyai niat yang betul dalam menjalankan perniagaan, menjalankan perniagaan menurut etika dan akhlak Islam, sentiasa menjaga kualiti, dermawan, beriman serta mementingkan ibadah. PPKS turut  menyediakan platform bagi para pelajar menjalankan perniagaan di Student Mall, Kiosk dan Pusat Keusahawanan Pelajar (PKP). Para pelajar juga digalakkan menyertai program-program keusahawanan yang berbentuk pertandingan Idea Perniagaan (Business Idea), Simulasi Perniagaan, terlibat di dalam aktiviti keusahawanan sosial (ENACTUS), usahawan tani (MyAgrosis), serta menjadi ahli Sekretariat Latihan Keusahawanan Siswa (SeLKS) yang juga membantu menggilap potensi diri melalui ruang dan peluang yang wujud.

Melalui program-program yang dijalankan, para pelajar juga dapat menaiktaraf idea kreatif dan inovatif mereka dalam penghasilan produk di makmal Universiti kepada proses pengkomersilan sehingga ke tahap pasaran luar. Kesemua ini adalah berhubung rapat dengan hasrat USIM bagi melahirkan graduan yang mempunyai ciri-ciri menurut Model Graduan Intergrasi Ilmu Naqli Aqli (GIINA) iaitu seimbang, holistik dan berkeusahawanan. Dalam hal ini, PPKS terlibat secara langsung bagi aspek 'berkeusahawanan' iaitu memastikan para pelajar USIM aktif dalam aktiviti keusahawanan, aktif dalam aktiviti inovasi serta berupaya untuk menghasilkan Business Model Canvas (BMC).

Justeru, laman web PPKS diwujudkan dengan harapan supaya para pembaca mendapat maklumat yang diperlukan terutama dari segi perkhidmatan yang disediakan oleh PPKS kepada semua pihak. Semoga maklumat yang disediakan mampu memberi impak maksima kepada semua, inshaAllah.

Selamat melayari laman web PPKS.

Syukran jazilan.

 

“Don't seek for a job, create a job!"


Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustamam

Pengarah, Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS)

Universiti Sains Islam Malaysia