Seminar Belia dan Keusahawanan (SeBU) 2016

Bertempat di Perpustakaan USIM, Seminar Belia dan Keusahawanan (SeBU) 2016 telah dijalankan pada 24 Ogos 2016. Seminar anjuran Pelajar Tahun 2, Ijazah Pemasaran Kewangan daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) ini dijalankan bertujuan menyediakan satu platform kepada para ahli akademik, industri dan pelajar untuk membincangkan isu-isu keusahawanan di kalangan belia. Tema yang dipilih pada kali ini ialah "Belia & Keusahawanan Pemangkin Kecemerlangan Negara".

SeBU 2016 telah dirasmikan oleh Tuan Isham Jalil, Pegawai Khas YB Perdana Menteri. Dalam ucapannya, beliau menegaskan tentang kepentingan para pelajar dewasa ini untuk mengetahui hala tuju perancangan hidup masing-masing selepas tamat pengajian di universiti. Keusahawanan merupakan salah satu cabang yang boleh diceburi memandangkan keadaan ekonomi yang agak menggalakkan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk berkembang luas. Justeru, pelbagai peluang dan ruang tersedia bagi mereka yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Sebanyak 11 buah kertas kerja telah dibentangkan daripada pelbagai agensi dan institusi. Di akhir seminar, sebuah resolusi telah dilaporkan. Secara umumnya, seminar ini telah berjaya membuka minda para peserta tentang pelbagai aspek keusahawanan yang boleh diterokai dengan lebih mendalam. Semoga seminar sebegini boleh diteruskan pada masa akan datang dengan topik yang lebih menarik dan terkini.