MAJLIS PELANCARAN INKUBATOR JAHITAN USAHAWAN SISWA USIM

 

Nilai, 23 Nov - Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dato' Musa Ahmad merasmikan Program Inkubator Jahitan Usahawan Siswa USIM anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) dengan kerjasama Hani D Unggul Sdn.Bhd di Pusat Komersial, Hari ini.

Program yang disertai oleh 20 orang perantis bagi inkubator jahitan ini akan memperoleh sijil kemahiran Malaysia yang akan diberikan pada akhir empat modul tersebut iaitu menjahit baju kurung tradisional, baju blaus, jubah dan selendang.

Mengangkat objektif utama bagi melahirkan usahawan bumiputra berimpak tinggi dengan keupayaan sebagai pengeluaran dan pemilik dalam bidang jahitan dan fesyen, PPKS USIM mengambil inisiatif untuk menganjurkan kelas inkubator jahitan disamping objektif yang lain untuk memberi nilai tambah dan kemahiran kepada para pelajar untuk memulakan perniagaan dalam bidang jahitan dan fesyen selain memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk menjalankan perniagaan secara mobile semasa dalam pengajian dan menghalakkan para pelajar untuk menjalankan perniagaan dengan menggunakan kemahiran yang telah diperolehi untuk mengambil tempahan pakaian, membuka bengkel jahitan dan lain-lain untuk menjana pendapatan.

Prof. Dato' Dr. Musa Ahmad dalam ucapan majlis perasmian melahirkan perasaan gembira kerana USIM dapat menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Hani D Unggul dalam pelaksanaan program ini.

"Sesungguhnya USIM amat bertuah kerana berpeluang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak industri seperti Hadi D Unggul Sdn.Bhd."

"Pelaksanaan Program Inkubator Jahitan Usahawan Siswa USIM dengan kerjasama Syarikat Hani D Unggul Sdn.Bhd ini merupakan salah satu usaha USIM untuk mengaktifkan dan meluaskan jalinan kerjasama bersama pihak industri."

Tambahnya lagi program ini juga merupakan salah satu usaha USIM untuk melahirkan graduan yang memiliki sifat holistik, berkeusahawanan dan seimbang.

"USIM merasakan pelaksanaan program ini adalah sangat releven dalam usaha USIM untuk melahirkan lebih ramai graduan usahawan program ini dilaksanakan 100% secara pratikal".