KUALA LUMPUR, 30 OGOS 2020 – Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Siswapreneur Business Ethics and Compliance (SBEC) Educator 2020. Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT di Kuala Lumpur.
Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada para tenaga pengajar seluruh IPTA telah menyertai program ini yang telah berlangsung selama empat hari bermula 27 Ogos 2020. Program ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada usahawan siswa dan tenaga pengajar yang terlibat mengenai etika dalam menjalankan aktiviti keusahawanan selain tanggungjawab untuk mematuhi perundangan berkaitan yang sedang berkuatkuasa.
Pelaksanaan program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penceramah jemputan dan bersama-sama menyediakan modul latihan.