15 Jun 2013 (Sabtu) : Sejarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), USIM tercipta lagi apabila hasil kreativiti dan inovasi yang diberikan oleh sekumpulan pelajar dengan menghasilkan sejadah yang dinamakan ‘Sejadah Black is Bright (BB)’ ternyata memberi tuah kepada mereka dalam Pertandingan Usahawan Inovasi Piala Menteri Pendidikan.

Sejadah BB ini yang dihasilkan oleh pelajar Noorelkamal Elias ,Munamajidah Zameran, Nor Aziha Jusoh dan Nasrul Hanif Ahmad Nasri , pelajar Tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya muncul sebagai Naib Johan setelah berjaya menempatkan diri antara 10 produk terbaik ke peringkat akhir. Hadiah yang dimenangi berupa wang tunai RM 3000.00, Piala Iringan dan Sijil Penghargaan disampaikan oleh YB. Dato Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II.

Sebagai tanda sokongan daripada Universiti, produk mereka ini telah dijadikan cenderamata eksklusif USIM oleh Pengurusan Universiti ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kuwait, Oman dan Qatar baru-baru ini dan selepas ini akan di bawa ke Gaza, Palestin pula.