28 JANUARI 2016 – PPKS telah menganjurkan Bengkel Blueprint Keusahawanan USIM yang telah berlangsung di bilik seminar Pusat Pengurusan Penyelidikan USIM. Y.Bhg. Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dalam ucapan perasmiannnya menyebut bahawa USIM sentiasa peka dengan keperluan semasa terutama dengan ekonomi semasa yang mencabar. Maka, aspek keusahawanan perlu diberi penekanan supaya para graduannya mendapat peluang dan ruang untuk menjadi job creator setelah tamat pengajian di USIM.
Bengkel separuh hari ini dihadiri oleh wakil PTJ yang terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi serta Penolong Pendaftar. PPKS juga menjemput tiga orang wakil alumni USIM yang telah berjaya menjadi usahawan bagi berkongsi pengalaman mereka membangunkan perniagaan sejak di zaman kampus. Dua orang wakil industri yang telah terlibat membantu membangunkan program keusahawanan di USIM juga telah dijemput bagi memberi perkongsian tentang agenda memantapkan ekosistem keusahawanan di USIM.
Pada akhir bengkel. PPKS merumuskan bahawa kerjasama dan partisipasi daripada setiap PTJ sangat penting bagi merealisasikan agenda menambah bilangan graduan usahawan di samping terus meningkatkan minda keusahawanan di kalangan para pelajar. Job creator framework acuan USIM perlulah berteraskan integrasi ilmu naqli aqli bagi memastikan muslimpreneur yang dihasilkan bukan sahaja memikirkan keuntungan malahan tidak lupa aspek memberi kembali kepada masyarakat.
Semoga bengkel yang dianjurkan mampu membuka minda semua PTJ tentang ekosistem keusahawanan yang holistik dan komprehensif yang perlu wujud di USIM demi membantu graduan USIM yang masih rendah peratusan graduate employability iaitu 71% pada tahun 2014.
Leave A Comment