4 OGOS 2015 – Alhamdulillah, pasukan Kelab Enactus USIM telah berjaya mendapat tempat keempat (Finalist) dalam Enactus Malaysia National Cup (EMNC) 2015 yang diadakan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kuala Lumpur. Pasukan Enactus USIM telah membawa projek Golden Oil dan Musaceae untuk dipertandingkan ke EMNC 2015.
Projek ʺGolden Oilʺ adalah suatu aktiviti keusahawanan sosial para mahasiswa untuk membantu masyarakat setempat dalam meningkatkan taraf kesihatan di samping dapat menjana pendapatan sampingan. Projek ini dijalankan dengan mengumpul minyak masak terpakai dan kemudian menjual minyak tersebut kepada syarikat Kris Biofuels untuk dikitar semula. Tujuan utama projek ini diadakan adalah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan sisa minyak masak terpakai secara terus ke bumi tanpa sebarang proses. Projek ʺGolden Oil ini juga merupakan salah satu kaedah bagi menambah pendapatan sampingan kepada pihak-pihak terbabit di samping membantu mereka-mereka yang memerlukan.
Kerjasama dengan pihak luar adalah amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan projek ini. Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Perbandaran Nilai, Seremban dan Persatuan Koperasi Groombig Negeri Sembilan dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat akan pentingnya untuk kita melupuskan minyak masak terpakai dengan betul di samping mereka menjana pendapatan.
Projek “MUSACEAE” merupakan satu aktiviti keusahawanan sosial yang bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan melalui kaedah pengurusan pisang yang cekap dan mampu menjana pendapatan yang berterusan kepada golongan sasaran iaitu asnaf,ibu tunggal dan juga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia.
Projek ini dilaksanakan bermula dengan penanaman pokok pisang di dari Kampung Orang Asli Ulu Kelaka, Jelebu Negeri Sembilan. Kaedab yang kedua adalah dengan mengumpul dan membeli pisang adripada penduduk kampung dan kemudiannya buah pisang itu akan diagihkan kepada tiga golongan sasaran sebelum diproses untuk dijadikan kerepek pisang dan dipasarkan. Projek ini juga merupakan salah satu medium untuk menggalakkan golongan sasaran tersebut untuk lebih kreatif dengan memanfaatkan sumber yang ada dengan mempelbagaikan hasilnya.
Para pelajar berperanan untuk membantu penduduk di Kampung Ulu Kelaka untuk menjalankan projek pemprosesan pisang di IKS kampung tersebut serta melakukan pemantauan terhadap hasil tanaman pisang yang telah dilaksanakan pada tahun sebelumnya di atas tanah seluas tiga ekar. Para pelajar juga berperanan dalam memasarkan hasil pisang yang telah siap diproses oleh golongan sasaran tersebut. Sebuah Industri Kecil Sederhana (IKS) telah ditubuhkan selepas mengenal pasti golongan asnaf dan ibu tunggal bagi mengendalikan perusahaan kerepek di mana hasilnya dijual kepada pelanggan-pelanggan tetap. Program ini diharap dapat mewujudkan rantaian industri antara penduduk Kampung Ulu Kelaka sebagai pihak yang menyediakan bekalan pisang dan industri pemprosesan kerepek yang telah diwujudkan.
Pembentangan pasukan Enactus USIM telah menarik hati juri sehingga berjaya menjadi pasukan finalist. Tahniah diucapkan atas pencapaian membanggakan ini. Semoga Enactus USIM terus mekar di persada keusahawanan sosial yang membantu golongan memerlukan.
Leave A Comment