PORT DICKSON, 26 SEPTEMBER 2020 – Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) dengan kerjasama Pusat Islam (PI) Universiti Sains Islam Malaysia telah menyantuni komuniti di sekitar Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Program jelajah sukarelawan USIM bersama komuniti ini adalah salah satu program tahunan universiti yang pada tahun ini telah berjaya dirancang dan dijalankan bersama komuniti di Masjid Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Program bermula dengan majlis pembukaan yang telah dirasmikan oleh Us. Shafie Muhammad, Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Daerah Lukut. Seterusnya, antara program menarik yang telah dilaksanakan bersama warga kariah seperti Senaman Tua, Kursus Sembelihan, Bengkel Jahitan dan Sukan Rakyat. Penyertaan adalah sangat menggalakkan daripada warga kariah iaitu hampir 60 peserta meliputi semua peringkat umur dalam aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Majlis penutup pada Program Jelajah Sukarelawan USIM pada tahun ini telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Sains Islam Malaysia.